Surat sokong Hishammuddin jadi PM palsu





June 11, 2021

KUALA LUMPUR: PAS menafikan mempunyai sebarang kerjasama dua pihak antara dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menyokong Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan surat yang tular di beberapa platform media sosial adalah palsu.

“Saya menafikan kenyataan tersebut dan ia telah mendapat pengesahan bahawa maklumat tersebut adalah palsu,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, perkara itu turut disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat bahawa maklumat itu adalah palsu.

Surat yang bertarikh hari ini tular kononnya PAS bersepakat bersama parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Shafie Apdal itu untuk menyokong Hishammuddin sebagai Perdana Menteri gara-gara pandemik Covid-19 yang semakin meruncing.

Kandungan surat berkenaan yang terdapat tandatangan Takiyuddin dan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr menyebut keputusan itu dibuat sebagai langkah menyelamatkan negara dari terus berada di dalam krisis kesihatan dan ekonomi. 

Comments